Sabtu, 28 Mac 2015

Malas.

Malas bukan sekadar sifat negatif malah malas adalah sifat mazmumah. Sifat mazmumah jika dilakukan akan berdosa. Nauzubillah. Umat Islam bukan umat yang malas. Kita diseru oleh Allah supaya apabila selesai satu kerja/amal soleh buat kerja yang lain (Surah Al Ansyirah : 7).



Rasullullah juga suka dan pernah mamuji tangan seorang petani yg kasar kerana kerajinannya bekerja.

3 perkara mengatasi malas:


  1. Atasi malas dengan mujahadah (Jihad & lawan malas) secara terus-terusan. Selalu bezakan antara perkara yang perlu dibuat, dan perkara yang suka dibuat. Orang yang rajin akan buat perkara yang perlu dibuat walaupun sukar dan tidak menyeronokkan. Orang yang malas hanya akan membuat perkara yang suka dibuat dan hanya mahu berada di zon selesa dan statik di situ.
  2. Sering berdoa untuk tanggani penyakit malas.
  3. Berkawan dengan orang yang rajin & positif.
Sifat malas umpama Orang yang kehilangan wang di malam hari, wang nya jatuh di bawah sepohon pokok yang besar, dedaunannya rimbun sehingga menghalang cahaya bulan purnama yang terang menerangi tanah. Namun dia mencari wangnya di tempat yang terang yang disimbahi cahaya bulan. Lalu dia ditanya oleh orang yang lalu-lalang, "Apa yang tuan cari?". Dia menjawab, "saya mencari wang saya yang jatuh". "Jatuh dimana?"tanya orang yang lalu lalang tadi. "Jatuh di bawah pohon itu?" jawabnya sambil menuding ke arah pohon yang merimbun itu. "Jadi, kenapa tuan tidak mencarinya di sana?",tanya orang ramai. Dia menjawab, "Kerana di sini terang dan mudah mencarinya",jawab orang yang kehilangan duit itu. Mesti nampak bodoh bukan? Begitulah orang yang suka pada perkara yang mudah, dia hanya suka ambil mudah dan buat keputasan yang mudah. Alangkah sia-sianya tindakannya. Inilah contoh orang yang malas. Malas itu senangnya sekejap, tapi musibahnya lama malah mungkin berkekalan. 

(Petikan Islam itu Indah, IKIM.fm, Ust Pohrol M Juoi)

Selasa, 27 Januari 2015

Setiap hari kita membuat pilihan.

Nak joint mengata bos ke ... nak diam?
Tak joint nanti kawan kata 'pro-majikan', kaki kipas, mata-mata...
Dalam hati memang ada sedikit tak puas hati pada majikan. Kena pula ramai dah berkumpul tu, riuh sangat.Memang seronok ni melepaskan nafsu amarah dengan mengumpat.
Tak kan la nak duduk diam-diam kat meja...

Tapi, mengumpat itu berdosa. Kena pulak mengumpat disulam caci-maki dan fitnah ...pasti mengundang murka Allah, akhirat nak cari bos kat mana nak minta maaf. Nak minta maaf sekarang dan mengaku salah ...nasib tak baik :YOU ARE FIRED.

Kawan semakin hairan, kenapa jadi pihak berkecuali. Baik la konon...
Akhir sekali kita pulak yang kena pulau, kena umpat, kata kita kera sumbang, paling best kata kita kaki kipas. Kita dengan bos pun macam tikus dengan kucing, ni pulak nak buka mulut.

Situasi di atas memaksa kita membuat pilihan,

  1. Pilihan pertama joint kawan.
  2. Pilihan kedua tak joint, buat kerja elok-elok sepertimana amanah yang diberi. Diam dan sabar.


Ya Allah...
Ingatkan daku pesan Rasul: -

“Sesungguhnya barangsiapa yang mencari redha Allah dengan marahnya  manusia, maka Allah akan cukupkan baginya akan segala keperluannya di dunia ini. Tetapi barangsiapa yang mencari redha manusia dalam keadaan Allah murka, maka Allah menyerahkan nasibnya kepada manusia.” [Hadith]

Kuatkan daku ya Allah untuk mengikuti pesan Rasul Mu...

Amin.

Disini ada satu link yang amat mendidik jiwa... sila la ... 

https://abuwafi98.wordpress.com/2010/02/04/redha-siapa-yang-dicari/

Ahad, 25 Januari 2015

Tawaduk ....be humble .

Kita benci orang yang sombong,
tapi kita suka berlagak sombong,
hairannya diri....

Prof.Dr Muhaya suka highlight tentang "Kesedaran Keegoan". Lawannya ialah "Kesedaran Ketuhanan". Manusia yang hidupnya penuh dengan Kesedaran Keegoan ini ada beberapa ciri, jom lihat...

  1. selalu sangat tertekan,  yang remah pun suka dirumit-rumitkan
  2. suka bersaing ...jiran tak boleh lebih sikit ...hihiiii (saya tak mahu jadi gitu... )
  3. banyak dengki ...suka buat sesuatu keputusan yg ada latar belakang dengki, contohnya tak mahu hantar anak mengaji quran di rumah ustazah A sebab ajar mengaji sahaja boleh besarkan rumah. Kita kerja drive jauh-jauh rumah besar ni sahaja...contoh je ni :)
  4. suka menilai diri sendiri atau diri orang lain dengan nilai luaran sahaja misalnya kekayaan dia, pangkat dia, gaji dia atau gaji kita...gaji kita kecil, kawan kita naik gaji, kita tak lagi , kita dah down, sedangkan nilai dalaman masih tip top misalnya rajin solat, berbudi bahasa...kenapa nak down..belum rezeki kita...
  5. suka merasakan rezeki di tangan kita/dia sendiri, bukan dari Allah
  6. sangat jaga apa pandangan manusia, apa kata orang


Jom jadi TAWADUK...orang tawaduk semua orang suka. Orang humble ni memang best. Nak try sangat jadi humble. Nabi kita Muhammad SAW memang tawaduk...Jom ikut sunnah. 

Tawaduk ni sebenarnya apa ya? Kena rendah diri macam mana. Kena mengalah sahaja ke? Kalau kena buli tak boleh lawan ke? Tak boleh jadi kaya dan gah ke? 

Orang kaya kalau TAWADUK memang pemurah, mudah bergaul dengan orang yang kurang.
Orang berkuasa kalau TAWADUK boleh mendengar masalah orang di bawahnya.Sanggup susah dan turun padang.
Orang berilmu dan orang alim kalau TAWADUK tidak suka kata dia Alim, dia tak kan mengaku dia banyak ilmu, orang lain yang beritahu dia yang dia banyak ilmu. Tolong ajar saya, plz...plz... (Contoh). 
Orang Soleh yang TAWADUK tak kata diri dia dah baik...Namun selalu muhasabah dirinya.



Dimudahkan cerita, seseorang yang TAWADUK ni ialah seseorang yang 
  1. Ada harga diri, dia tahu nilai dirinya dalam keadaan kaya, dia hamba Allah dan khalifah Allah, ada tanggungjawab antara dia dengan Allah dan dengan manusia. Dalam keadaan terhina dia masih kuat kerana adanya Allah, dia hamba Allah dan tuannya adalah Allah yang maha berkuasa. 
  2. Menghargai Orang lain, bila kaya, berkuasa ... masih memerlukan pembantu untuk melaksakan pelbagai tugas bagi menguruskan kekayaannya dan kuasanya. Bila miskin atau orang biasa menghargai majikan atau pemimpinnya walaupun tidak sempurna mana masih boleh tumpang manfaat dan kebaikkan majikan dan pemimpin itu. (Catatan daripada slot Islam itu Indah,Radio IKIM.fm, Ust Pahrol, 16/10/14 Rabu)
Kita buat dua perkara ini sahaja dulu, InshaAllah jadi orang TAWADUK.
Jom mula sekarang!

Sekian,
PENGEJAR PENCIPTA




Dunia dikejar tiada salahnya.

Hidup kita adalah perjalanan kepada hari kematian. Orang yang bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati, lalu seluruh hidupnya difokuskan untuk membawa bekalan ke sana. Dunia dan seluruh bumi dan isinya adalah alat untuk mencapai akhirat umpama galah/alat (dunia) untuk mengait buah(akhirat). Tanpa galah yang baik, kukuh dan cukup tinggi (dunia yang baik ) mana mungkin dapat mengait buah (akhirat) dan mengutipnya dengan baik. Kalau buah diturunkan dengan membalingnya menggunakan sabit/batang kayu atau apa sahaja,mungkin bukan buah itu sahaja yang rosak tapi pohonnya juga rosak.Ada lagi satu cara, ya, tanpa galah kita masih mampu menurunkan buah dengan baik tapi caranya penuh kesukaran, bahaya dan menyakitkan iaitu dengan memanjat pohon itu. Apa yang ingin saya sampaikan, dengan selalu ingat mati dan hari akhirat rupanya secara tidak langsung kita mengarahkan diri kita memiliki dunia tanpa mencintainya. Indahnya Islam benar lah hadis nabi ini.Maaflah hadis ini saya tidak sertakan dengan sumbernya sebab saya bukan ustazah, saya bukan mahu berdebat, saya cuma mahu mengamalkan hadis ini. Jika ada rakan blogger yang ada sumber lengkap boleh la bantu.

Marilah kita sama-sama bekerja dengan rajin kerana Allah, kerja jadi ibadah. Indahnya....

Kita bina masyarakat Islam yang maju dan berdaya saing lagi mengusai dunia kerana dunia hanya akan aman jika dimakmurkan dengan orang-orang beriman dan takut pada Allah.

Imbangi kerja bertungkus-lumus kita dengan ibadah seperti bersedekah, zakat, infak. InsyaAllah Islam jadi kuat. Hapuskan ideologi kapitalis maximization of profit kerana ideologi ini sangat kejam dan zalim.Kekayaan bukan untuk matlamat dunia tetapi ia untuk akhirat. 

Inilah impian saya.  :)














Nak tambah lagi boleh? Ini ada sedikit nota yang saya catit drp slot Mukmin Professional drp Radio Ikim.fm, (Ustz Pahrol M Juoi), Amalan dunia boleh jadi amalan akhirat dengan :
  1. Niat yang betul (Niat kerana Allah)
  2. Sah disisi syariat
  3. Perlaksanaannya yang betul 
  4. Dibuat secara optimum, dengan kepakaran dan ilmu (Itqan)
  5. Tidak meninggalkan ibadah yang asas (Contohnya Solat 5 waktu)
  6. Hasilnya memberi kesan yang baik dan memakmurkan kehidupan.
 Sekian,
PENGEJAR PENCIPTA

Khamis, 15 Januari 2015

Tahun Baru 2015 dan Pencapaian.

Tahun baru dah tiba. Tahun 2015 yang penuh harapan meninggalkan tahun 2014 yang penuh tragedi dan kisah duka. Bermula dengan tragedi MH370, MH17, Banjir Besar (mini sunami) di Pantai Timur dan pelbagai lagi. Tahun 2015 ini pula dimomokkan dengan pelaksanaan GST, kenaikan harga barang, tekanan hidup kerana tiada lagi subsidi petrol dan sebagainya. 

Sebenarnya semua ini adalah perjalanan hidup yang membawa kita untuk mencari & mengejar Pencipta kita. Setiap hari sebenarnya kita mencari bahagia, bahagia sifatnya sangat subjektif. Ia berbeza-beza tapi yang pasti destinasinya satu , bahagia membuatkan kita tenang walaupun hakikatnya kita sedang berdepan dengan 1001 masalah & kesusahan. Bahagia juga membuat kita tenang dalam kesenangan. Ketenangan adalah sifat ahli syurga... ingat seruan Allah kepada roh yang baru kembali kepada Nya..."Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah al-Fajr (89) ayat 27-30). 

Jika kita selalu resah, selalu gelisah, marah-marah, susah hati, sangka buruk, tidak puas dan sering berhasad dengki. Tanyalah diri, adakah ini sifat ahli syurga? Benarkah kita ni benar-benar beriman & layakkah kita mengatakan yang diri kita ini sudah cukup baik dan soleh? 


Tahun 2015 ini daku berazam untuk hidup dengan lebih bersyukur, gembira & tenang walaupun jika pelbagai jangkaan negatif yang ku dengar itu benar-benar berlaku. Life is easy. Hidup ini mudah sebenarnya, masih ada ramai disekeliling untuk membantu. Masih banyak peluang dan ruang. Yang paling penting masih ada Tuhan sekalian alam tempat bergantung. Hidup ini mudah kerana pintu taubat sentiasa terbuka. Jangan takut gagal, jangan takut apa pun kerana Allah sentiasa ada bersama kita, cuma terpulanglah kepada kita hendak mencarinya atau tidak. Hidup dengan gembira & hidup dengan menghitung nikmatNya bukan menghitung apa yang kurang. Bersyukurlah nescaya akan ditambahkan lagi kebaikkan oleh Allah. Yakinlah dan berimanlah dengan janji Allah ini.

Apa sahaja yang bakal kita lakukan tahun ini, ingatlah bahawa Allah melihat usaha kita, Allah tidak melihat hasil. Baik kan Allah? Kalau dalam syarikat, majikan cuma mahu lihat hasil. Usaha kita tak usah ceritalah kalau tiada hasilnya. Tapi adilnya Allah kerana secara sunatullahnya usaha yang bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil yang baik. (Prof. Dr Muhaya).

Tahun ini daku berazam mahu bangun di setiap pagi dengan berkata pada diri di hadapan cermin bahawa "Syukur hari ini saya masih bernafas untuk memohon keampunan Allah, mengumpul amalan baik, bersedekah dan memberi kebaikkan kepada orang lain. Hari ini bermula pagi ini aku mahu mengelakkan daripada melakukan dosa-dosa mengumpat, memfitnah, dosa sombong, rasa diri hebat , dosa ujub, dosa riak dan sebagainya. Hari ini saya mahu fokus menjadi seorang yang tenang dan berakhlak mulia.

Tahun ini daku berazam mahu membayangkan segala yang baik-baik sahaja berlaku...caranya dengan duduk dengan tenang, baca surah Al Fatihah dan sedekahkan pada diri, suami, ibu ayah, anak dan seluruh umat Islam. Kemudian bayangkan kebaikkan itu satu-demi-satu tercapai. InsyaAllah.

Tahun ini, ingat! Ada 3 keutamaan :-

  1. Waktu paling penting : Saat ini dan sekarang
  2. Orang paling penting : Semua yang disekelilingku pada saat ini
  3. Perbuatan paling penting : Berbuat baik

Wallahualam...
Jazakallah.
PENGEJAR PENCIPTA






Jumaat, 23 Mei 2014

Dua Pencuri



Dalam melayari hari-hari yang menuntut kesabaran dan kebijaksanaan kita dalam membuat keputusan dan melangkah kehadapan, perlu kita sedar bahawa ada 2 pencuri yang sering mengekori kita dan menunggu masa untuk mencuri harta yang amat bernilai kurniaan Allah ini iaitu MASA.

Masa ialah usia kita, umur kita dan NYAWA kita.

Sanggupkah kita merelakan ia dicuri?

Siapa 2 pencuri itu? Dua pencuri itu ialah:
  1. Kebimbangan kita pada masa depan
  2. Penyesalan kita pada masa lampau
Cuba kita fikir-fikirkan bagaimana kedua-dua pencuri ini boleh meragut masa kita tanpa kita sedari? Bayangkan kita punya masa bersama-sama keluarga, bersama suami, bersama anak-anak namun kerana pencuri yang pertama iaitu "Kebimbangan masa depan", kita jadi bengis dengan anak-anak hingga terlalu membebankan mereka dengan tugasan akademik seperti membaca, belajar & tuisyen. Kita hantar anak ke asrama pada usia mereka terlalu muda, mendidik anak seperti robot semata-mata kononnya sebagai persediaan masa depan mereka untuk memasuki Universiti sehingga tidak ada masa untuk sentuhan kasih-sayang dan bergurau-senda. Lalu, saat anak mula bekerjaya, keluar dari rumah ibu bapa, barulah kita rasa alangkah ruginya masa yang beredar pergi. 

Mari bayangkan pencuri kedua mencuri masa kita dengan "Penyesalan pada masa lampau". Sebagai contoh kita pernah tersinggung dengan ibu bapa sehingga merajuk dan membawa diri. Sedangkan ibu bapa marahnya tidak lama malah rindunya semakin menebal saban hari. Kita dengan sesalan lalu atas kemarahan ibu ayah terus menerus menafikan bisikan rindu dalam hati dan terus-menerus dengan ego kita untuk memohon maaf dengan ibu bapa sehingga akhirnya mereka pun pergi meninggalkan kita saat ajal memanggil. 

Sedikit kebimbangan dan sedikit penyesalan susah memadai namun jangan sampai ia mencuri masa kita sehingga 2 perkara itu menghalang kita menikmati dan mengisi masa yang ada sekarang dengan berkualiti.

Inilah pesanan saya buat diri sendiri dan rakan-rakan semua yang optimistik terhadap masa depan dan sering mengambil iktibar terhadap masa lampau.


Sabtu, 22 Mac 2014

Sudut Itqan 1

Baca untuk motivasi diri dan menghitung nikmat.